Nota Fadz: Artikel ini pernah tersiar dalam Dewan Masyarakat Disember 2010.
Menjejaki Kontroversi Festival Filem Malaysia
Acara
karpet merah, fesyen atasan dan julangan piala Panca Delima sudah berlangsung
pada 24 Oktober 2010 dengan gilang-gemilangnya.
Kelihatan wajah-wajah karyawan filem yang menangis suka, melirik senyum
tetapi ada juga yang melangkah pergi sebaik pengumuman Filem Terbaik Festival
Filem Malaysia (FFM) ke-23 diucapkan oleh Sharifah Shairah, Zizan dan Hezrie
Hashim untuk filem Magika.
Rasa
tidak puas hati yang terpancar di wajah segelintir karyawan bukan kerana adat
bertanding. Lebih mengganggu daripada itu, suara yang mempertikaikan penjurian
dan pemilihan calon mula bercambah sejak FFM berlangsung tiga tahun
dahulu. Pada malam kemuncak 24 Oktober
itu, ramalan mereka jelas terbukti – tidak ada ertinya membikin filem yang
bermutu untuk memenangi anugerah di FFM.
Ura-ura mendung ini dijejaki sejak tahun lepas apabila
pengkritik filem dan panitia Festival Filem Antarabangsa Venice, Paolo Bertolin
pernah menyatakan pendapatnya terhadap FFM. Baginya, FFM “tidak perlu
digusarkan kerana kehadirannya tidak relevan”.
Pada waktu itu, FFM ke-22 berlangsung di Kota
Kinabalu. Filem Papadom memenangi filem terbaik, Allahyarham Yasmin Ahmad memenangi
pengarah terbaik (Talentime), Afdlin
Shauki mendapat pelakon lelaki terbaik (Papadom),
dan Liyana Jasmay mendapat pelakon wanita terbaik (Papadom). Malam itu Papadom berjaya merangkul lima
anugerah.
Isu yang paling mendobrak pemerhati filem pada tahun itu
ialah cara beberapa pencalonan dikategorikan dalam satu kategori anugerah, dan
bagaimana beberapa filem Malaysia yang berjaya melintas festival filem
antarabangsa dipandang remeh dan tidak mendapat pencalonan yang sepatutnya.
Tahun ini, pemerhati filem dikejutkan lagi dengan deretan
filem yang merangkul anugerah terbaik.
Tetapi lebih memeranjatkan lagi buat mereka ialah, senarai pencalonan
yang dipilih dalam beberapa kategori yang dipertandingkan. Dan kali ini, bukan
sahaja senarai pencalonannya dipersoalkan, tetapi kemenangan beberapa pemenang
FFM ke-23.
Sebenarnya FFM masih memberi nilai kemasyhuran tinggi serta
menjadi majlis filem yang amat dinanti-nantikan saban tahun, sekurang-kurangnya
bagi penggiat filem kebangsaan. FFM
sudah banyak berjasa kepada masyarakat dan filem kebangsaan sejak FFM yang
pertama pada 1980. Penggiat dan pengkaji
filem dapat merujuk (dalam laman rasmi Sinema
Malaysia) beberapa filem yang amat bermutu seperti Bukit Kepong, Ranjau Sepanjang Jalan, Matinya Seorang Patriot, Tsu Feh
Sofiah, Isteri, Perempuan & …?, Kaki Bakar, Jogho, Bintang Malam, dan Layar Lara di mana kesemua filem
tersebut berjaya merangkul filem terbaik pada tahun yang tertentu.
Tambahan pula, FFM yang lebih sesuai dianggap sebagai acara
“sayembara” daripada sebuah “festival” telah banyak menitip sejarah penilaian
yang kritis terhadap filem yang boleh dianggap terbaik dari Malaysia untuk
dipertunjukkan ke persada dunia. Malah
kebanyakan filem yang berjaya merangkul filem terbaik, pengarah terbaik, lakon
layar terbaik, serta beberapa teknik filem terbaik pada acara kemuncak FFM selalunya
diangkat mewakili negara pada tahun itu ke beberapa festival filem
antarabangsa.
Walaupun dengan kepesatan dunia maya serta kemunculan para
penerbit dan karyawan filem generasi baharu (seperti filem Muallaf, $ell-Out, The Big Durian, My Beautiful Washing Machine, Min,
Karaoke, Punggok Rindukan Bulan, dan Love
Conquers All) menghantar sendiri filem bikinan mereka untuk bertanding atau
ditayang di festival filem luar, FFM tetap bererti buat mereka. Ini terbukti apabila pada setiap tahun, filem-filem ini turut masuk bertanding
bersama filem-filem komersial kebangsaan yang lain, walaupun filem-filem ini
jarang mendapat pencalonan ataupun kemenangan.
Mahu atau tidak mahu, FFM masih
dilihat sebagai temasya yang masih cuba mengumpul segala komuniti karyawan yang
wujud dalam dunia pembikinan filem kebangsaan.
Persoalannya, adakah acara ini masih bertahan sebagai temasya kemuncak,
tempat pelbagai karyawan filem bersama-sama meraikan penerusan filem kebangsaan
sebagai hasil seni yang penting buat negara, atau acara yang hanya melibatkan
sekumpulan karyawan seni tanah air?
Amir Muhammad, pengarah dan kini penerbit buku baru-baru
ini menyatakan di dalam blognya, “kategori Poster Filem Terbaik merupakan
kategori anugerah yang paling penting dan konsisten setiap tahun FFM
dijalankan”. Kenyataan Amir sebenarnya
berbau sinis (tahun ini, poster filem Belukar
berjaya merangkul poster filem terbaik, seperti yang dijangkakannya!) dan
membuka pelbagai spekulasi terhadap pemenang FFM tahun ini.
Filem Magika
berjaya merangkul lapan anugerah termasuk Filem Terbaik tahun ini. Penganugerahan “sangat tinggi” terhadap Magika mula dipersoalkan apabila filem
ini tidak banyak memenangi anugerah utama seperti Pengarah Terbaik, Pelakon
Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, dan Lakon Layar Terbaik, walaupun
mendapat kemenangan terbanyak pada malam Anugerah Cipta FFM (bukan anugerah
utama FFM). Filem itu tetap berjaya
merangkul Pengarah Harapan Terbaik untuk Edry Abdul Halim serta beberapa anugerah
teknik dan pelakon kanak-kanaknya.
Kemenangan Magika membuka
terlalu banyak persoalan yang susah hendak dijawab. Persoalan seperti
kemunculan “tiba-tiba” kategori “Filem Komedi Terbaik” serta jika kategori
“Pengarah Harapan Terbaik” merupakan jaminan “tiket” untuk merangkul Filem
Terbaik di FFM dibangkitkan. Kecelaruan
yang agak tidak bersistematik ini dibandingkan dengan penganugerahan Golden
Globe Award di Amerika Syarikat yang membentuk dua kategori “Filem Terbaik”
iaitu Filem Drama Terbaik dan Filem Komedi/Muzikal Terbaik. Walaupun Magika tidak menang Filem Komedi
Terbaik, filem muzikal itu dicalonkan dalam kategori tersebut.
Mungkin alasan yang akan dinyatakan, FFM merupakan acara
negara, maka seeloknya filem-filemnya ditonton dan dinilai mengikut acuan
tempatannya, seperti yang pernah dinyatakan oleh Akmal Abdullah, wartawan
hiburan serta panitia juri FFM tahun ini. Tetapi hal itulah yang dipersoalkan
oleh segelintir pemerhati filem tempatan apabila filem peniruan aksi Hollywood
dan Sino, Evolusi KL Drift berjaya
merangkul Pengarah Terbaik buat Shamsul Yusof, filem bernada melodrama
Indonesia dan Hindustan, Lagenda Budak
Setan mendapat Cerita Asal Terbaik. Mungkinkah sebab itu, Estet yang dijelaskan dengan jujur oleh
pengarahnya, Mamat Khalid sebagai sebuah filem Kollywood Malaysia tidak
mendapat tempat di hati juri?
Walaupun ramai pemerhati filem tempatan meramalkan Estet mendapat banyak anugerah, jelas
sekali tahun ini para juri tidak berpihak kepada hasil karya Satu Malaysia
Mamat Khalid. Lebih menjengkelkan, Estet dikatakan mendapat “anugerah
kasihan” dengan pemberian Anugerah Khas Juri, sepertimana Muallaf, Woo Hoo! dan Ice
Kacang Puppy Love yang tidak dicalonkan dalam mana-mana kategori utama FFM
tahun ini. Persoalan ini dibuka lagi
berkenaan isi kandungan dan kriteria apakah yang dirangkakan oleh pihak juri
tahun ini untuk memenangkan sebuah filem?
Apakah lebih kepada segi pembikinannya, temanya, ataupun kesegaran yang
diadakan walaupun pengolahannya tidak berapa baik? Apa yang jelas dan diperlihatkan oleh panel
juri FFM tahun ini, kebanyakan pemenang merupakan karyawan muda dan baru
berkecimpung dalam industri ini. Hal ini
memberi impak positif terhadap pengiktirafan anak-anak muda di dalam industri
serba kecil ini, tetapi adakah kemenangan itu boleh diwajari dengan hasilnya?
Anwardi Jamil, pengarah filem Tuah dan Budak Lapok
(beliau merupakan anak pengarah filem terkemuka, Jamil Sulong), memberi
pendapat bahawa filem tempatan berbahasa Cina, Ice Kacang Puppy Love lebih sesuai memenangi Filem Terbaik atas
mutu penceritaan dan pengolahan teknik filem yang amat baik daripada Evolusi KL Drift ataupun Magika.
Tetapi Anwardi juga sedar “ketidakwajaran” perjurian berlaku dalam
pemilihan pencalonan FFM kerana filem tersebut berbahasa Cina daripada
berbahasa kebangsaan. Hal inilah yang
membelenggu pembikin filem untuk mengolah sebuah filem yang menangkap realiti
zaman atau membikin sebuah filem yang menuruti identiti kebangsaan yang sudah
termaktub dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan.
Lebih buruk daripada itu, Anwardi menjelaskan, sudah ramai
pembikin filem tempatan yang sudah “tidak peduli” dengan pencalonan dan senarai
pemenang FFM sejak beberapa tahun lalu. Hal ini tentulah kerana pemilihan
pemenang tahun ini yang masih mencurigakan pelbagai pihak.
Secara umum, apa yang dapat dilihat pada tahun ini,
seakan-akan, kesemua filem yang memasuki FFM ke-23 sekurang-kurangnya mendapat
sebuah anugerah. Hal ini seakan-akan
menyatakan, kategori yang dimenangi oleh sesebuah filem kali ini merupakan
hasil kerja, bahan kandungan atau pencapaian terbaik yang dimiliki atau
diusahakan oleh karyawan filem itu. Atas
sebab itu, Shamsul Yusof dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik mengalahkan Mamat
Khalid dan Ahmad Idham yang lebih “matang” daripadanya, mungkin kerana cabaran
pengarahan dan perancangan Shamsul dinilaikan lebih susah dan berjaya digarap
dengan cemerlang dalam standard pengarahan filem aksi tempatan, berbanding
dengan filem drama-aksi bola sepak Mamat Khalid serta kisah seram Ahmad Idham.
Tetapi rata-rata pemerhati filem memperlihatkan suatu
percubaan oleh juri FFM kali ini untuk memberi “sama rata” terhadap filem-filem
yang bertanding dan layak menang. Hal ini seakan-akan memberi penghargaan
kepada semangat juang para karyawan yang setahun demi setahun merancakkan hasil
pengeluaran filem tempatan, terus membikin filem sehingga dapat menayangkan
sebuah filem Malaysia baharu setiap minggu di pawagam tempatan. Azalan Hussain,
kurator tayangan filem-filem pendek MASKARA sendiri menyatakan dengan nada
sindir, “daripada FFM ke-23 memberi peluang kepada semua karyawan filem
mendapat ‘habuan’, lebih baik FFM dibubarkan lalu pihak yang bertanggungjawab
memberi ‘habuan’ yang sama rata kepada semua karyawan filem yang membikin filem
pada tahun itu”.
Menjejaki Kontroversi Festival Filem Malaysia
Festival Filem
Malaysia (FFM) tidak pernah aman dengan kontroversi. Isu-isu yang dibangkitkan
selalunya panas dan diperhatikan oleh peminat filem tempatan. Dari 1980 hingga
2010, gosip, pencakaran, perasaan tidak puas hati yang diadukan oleh penggiat
seni tanah air. Di bawah merupakan
antara peristiwa panas yang popular:
FFM ke-6 (1986)
Ketika ini, filem
Malaysia sedang menuju ke arah kehambaran atas penjualan tiket yang rendah di
pawagam. FFM ke-5 yang terdahulu diadakan pada 1984, selang setahun dengan FFM
ke-6. Filem Malaysia amat kurang di pasaran
apatah lagi untuk dipertandingkan. Tsu
Feh Sofiah arahan Dato’ Rahim Razali merupakan Filem Terbaik FFM tahun itu.
Pada waktu itu, para akademik dan penggiat filem mula berdebat jika “filem yang
baik” perlu dinilai mengikut sambutan penonton. Pada tahun berikutnya, filem
seram yang mempunyai nilai komersial oleh Othman Hafsham, Rahsia memenangi Filem Terbaik. Pendebatan antara filem yang
bermutu dengan tanda aras sambutan penonton tempatan masih berlaku sehingga
sekarang.
FFM ke-8 (1989)
Tahun yang kecoh
kerana untuk pertama kali dalam sejarah FFM, tidak ada filem yang merangkul
Filem Terbaik. Kemenangan A.R. Badul sebagai Pengarah Terbaik untuk filem Oh Fatimah! menyebabkan ramai pembikin
filem yang tidak puas hati. Filem komedi Oh
Fatimah! berjaya menandingi dua filem drama yang dijangka memberi
persaingan sengit, Anak Sarawak dan Yassin. Tahun itu dan sebelumnya
merupakan tahun prolifik bagi A.R. Badul yang banyak menghasilkan filem komedi.
Para pemerhati filem mengatakan tahun berikut merupakan era kemunduran filem
Malaysia.
FFM ke-9 (1991)
Selepas kontroversi
Oh Fatimah!, Malaysia tidak dijenguk
FFM sehingga 1991 apabila filem Hati
Bukan Kristal merangkul enam anugerah Panca Delima, termasuk Filem Terbaik,
mengalahkan Mat Som dan Fenomena, filem pertama Aziz M.
Osman. Majlis yang berlangsung dikritik
oleh penonton kerana tempoh acara penganugerahan yang teramat panjang dan
melewah hingga ke pagi.
FFM ke-10 (1992)
Pada pertama kali
dalam sejarah, Filem Terbaik dimenangi oleh dua filem, Bintang Malam dan Selubung. Keputusan berikut membawa polemik yang
panjang antara peminat filem tempatan yang mempersoalkan filem mana yang lebih
layak dinobatkan dengan anugerah berprestij itu. Pada tahun itu juga, Fauziah Ahmad Daud yang
dicalonkan dalam Pelakon Wanita Terbaik untuk Bintang Malam amat tidak berpuas hati dengan kemenangan Deanna Yusoff
dalam Selubung. Beliau menyifatkan Deanna masih “baru” dalam industri
lakonan. Beberapa tahun berikutnya, FFM
mewujudkan anugerah Pelakon Harapan Terbaik.
FFM ke-11 (1994)
Mungkin anugerah
Pelakon Wanita Terbaik merupakan anugerah yang paling dicemburui oleh para
pelakon wanita, kerana sekali lagi pada tahun itu, ramai pemerhati yang
mempertikaikan kemenangan Erma Fatima dalam Femina
menandingi Sofia Jane dalam Perempuan,
Isteri dan …? Filem lakonan Sofia
Jane arahan U-Wei Haji Shaari itu memenangi Filem Terbaik pada tahun tersebut.
FFM ke-18 (2005)
Tahun di mana filem
“kecil” Sepet berjaya mengalahkan
filem “agung” Puteri Gunung Ledang.
Pada masa inilah, Allahyarham Yasmin Ahmad mula duduk di atas kerusi panas
lantas filem-filem bikinannya terus menjadi pendebatan dalam kalangan pembikin
filem. Pada tahun berikut, ramai peminat
filem yang tidak berpuas hati dengan kemenangan mengejut Zamarul Hisham sebagai
Pelakon Lelaki Terbaik untuk Di Ambang
Misteri, serta Erra Fazira sebagai Pelakon Wanita Terbaik untuk Hingga Hujung Nyawa. Kedua-dua filem itu disifatkan sebagai filem
yang sederhana mutunya oleh segelintir peminat filem tempatan.
FFM ke-19 (2006)
Yasmin Ahmad sekali
lagi mengejutkan para pembikin filem apabila Gubra mendapat Filem Terbaik. Antara yang tidak berpuas hati ialah
penerbit filem Raja Azmi. Tambahan pula, filem ini dijaja sebagai filem
“pencemar budaya” oleh segelintir pemerhati filem.
Sharifah Amani yang
memenangi Pelakon Wanita Terbaik untuk filem tersebut dicemuh kerana menyatakan
beliau tidak pandai berbahasa kebangsaan pada masa beliau memberi ucapan
penghargaan untuk anugerah tersebut. Kemenangan tersebut telah menghantui
kerjaya Yasmin Ahmad. Filem-filem beliau
yang seterusnya (kecuali Talentime)
tidak mendapat pencalonan yang banyak dalam FFM kerana dikatakan filem tersebut
memutar tema yang sama. Tahun tersebut
juga membuka pendebatan akan kehadiran filem-filem digital tempatan oleh
pembikin filem generasi muda yang dikatakan “sama baik” atau “lebih baik”
daripada filem-filem konvensional yang dipertandingkan, sepertimana anugerah
Filem Terbaik Bukan Bahasa Malaysia yang turut menjadi persoalan yang
meruncingkan dalam kalangan peminat filem tempatan.
Comments
Post a Comment