Komentar ini ada spoiler.
Memang agak mudah sebenarnya untuk kita membantai apa-apa filem pun atas ekspresi cita rasa (taste) atau pengalaman penontonan (viewership experience) kita sendiri. Malah, perilaku itu pun tidaklah dilarang malah dialu-alukan dalam perbincangan filem, lebih-lebih lagi dengan tujuan pengapresasian filem, apatah lagi filem tempatan.
Saya menulis ini pun tidaklah menafikan bahawa Wira filem mutakhir Adiran Teh itu sempurna, terbaik (jika dibaca pun ulasan saya, saya tidak pun menyatakan filem ini "terbaik" seperti biasa yang saya lakukan terhadap filem-filem tertentu), malah seperti yang ada dinyatakan oleh pengulas tertentu di dalam kumpulan Movie Addict di facebook, bercacat-cela dan bermasalah dalam dialog-dialog tertentu.
Namun, dalam pengalaman tontonan dan kekurangan diri saya sendiri, dalam segala corniness dan perangkap interteks (yang dikatakan mengulang daripada filem lain - ya, ini kerumitan jika tidak dilaksanakan dengan betul) yang ada dalam Wira, terdapat juga bahasa filem, jika diteliti dengan betul-betul, membuat kita merenung maksud tujuan di sebaliknya.
Saya kembali pada babak mula-mula filem ini, secara prolog, apabila dipaparkan dengan objektifikasi dua wanita sedang bergocoh di tengah gelanggang, di kelilingi spektator lelaki. Hal ini saya dah maklum dalam ulasan serba ringkas saya dalam https://tontonfilem2.blogspot.com/2019/11/ulasan-wira-2019.html. Tapi tunggu dahulu. Filem menjadi kenyataan yang hidup, menyampai dan "menyatakan sesuatu" apabila sang pengarah dengan konsisten menerapkan motif berkali-kali, malah berkemungkinan mengembangkannya (sama ada membentukkan corak baharu mahupun menghancurkan motif itu). Dalam filem ini, imej dua orang di kelilingi orang ramai dengan sengaja, dengan syot luas, diulang berkali-kali jika diteliti. Malah, pada montaj kredit awal filem ini, dipaparkan "kandungan" dalam kilang kondom milik Raja, yakni objek semacam tabung uji yang mengelilingi satu bulatan.
Mengapa objek ini sengaja diletak oleh Adrian? Selain melangsungkan poin bahawa manusia di dalam pekan Wira adalah mekanikal terhadap arahan penguasa (Raja), terdapat satu imej gerak akan objek ini. Berlaku satu kitaran. Dan kita faham di sini, satu kitaran ganas, juga kitaran ganas ini mengelilingi, menyaksikan, menonton pada satu titik tumpuan (focal point), yakni bulatan di tengah, di sini, menyerupai imej prolog awal yakni dua orang bergocoh yang disaksikan oleh penonton lelaki di sekeliling gelanggang.
Inilah mata ribut (the eye of the storm) dalam Wira. Ruang tengah ini, bukan sahaja menjadi pusat tumpuan (menjadi tapak menang/kalah pertarungan: baca Jogho - politik) tetapi diserang apabila duduk letak penguasa digugat.
Kemudian, kita sengaja tidak dinyatakan oleh pembikin, mengapa sebenarnya Zain adik Hassan bergocoh dengan Vee anak Raja. Secara sekilas, dalam bacaan dialog Raja, ia berkait dengan maruah keluarga (kita sedari Hassan hanya mendengar dari sisi Raja, bukan adiknya). Tetapi kita sedar sesuatu: apa yang dijadikan taruhan Zain bukan duit(!), tetapi maruah (ini ada kaitan dengan maruah ayahnya) dan "kebenaran" prinsip yang dipegang oleh ayahnya. Sebelum pertaruhan (kerana kita diberikan latar bahawa Zain sudah lama bertarung di gelanggang) tentu berlaku sesuatu yang menyebabkan Zain berani mempertahankan dirinya di hadapan Raja (terdapat dialog jelas: "Orang nak mati je berdepan dengan Raja!") sehingga Raja mengarah dia bertarung dengan anaknya. Jadi kita menyedari, perjuangan Zain ini suci (berlawanan dengan Raja yang berjuang dengan manipulasi, yang lantas membentuk bulatan yang mengitar tersebut), malah Zain (seperti diulang Raja) "seperti ayahnya" sedang berjuang untuk sesuatu yang melangkaui peribadi, sistem keseluruhan yang menindas komuniti Zain itu.
Kita diberikan imej ini sekali lagi, dengan gandingan abang Zain, Hassan. Jelas, secara klise (tapi murni), poin Adrian jelas: dengan gandingan bahu, Zain-Hassan boleh menandingi apa-apa pun, walaupun berada di dalam mata ribut.
Hal inilah, yang kemudian, secara syot luas ala bird's eye view, dipaparkan dua kali lagi, satu sewaktu Raja menggerakkan mekanisme "feudal" ala tuan tanah-orang dalam genggamannya pada babak di pangsapuri (perhatikan, walaupun hal ini kurang berkesan, setiap gerak cara Hassan-Zain untuk membanting sistem kitaran penindasan Raja, adalah melalui penurunan berbentuk spiral: babak di Tapak, babak di pangsapuri, dan babak klimaks di kilang) dan sekali lagi, sewaktu Zain-Hassan menyeludup masuk ke kilang. Imej mata ribut ini (yang sebenarnya imej yang kita sudah temui berkali-kali dalam filem perang, antara yang terbaik adalah dalam filem Ran karya Akira Kurosawa) menampilkan bukan sahaja betapa mekanikal Raja itu "sedang berlangsung" tetapi terdapat garis halus (rujuk: terdapat tali sempadan di gelanggang) antara pencetus/pengadu yang melawan sistem dengan mereka yang terus-menerus dibutai oleh sistem. Dan, kita tahu, ke manakah akhirnya sistem ini menuju dalam tangan Adrian Teh nanti.
Apakah tujuan Adrian menggunakan imej ini untuk mewakili sistem manipulasi Raja? Dalam kefahaman fizik, bulatan sah-sah mempunyai kekuatan secara geometrik kerana pengagihan keberatannya sekata pada setiap sisi. Namun inilah "ilusi" yang hendak dihancurkan oleh Zain-Hassan. Ya, bulatan tampak kukuh, dan semacam duduk kuasa dan rancangan manipulatif Raja sudah meletakkan tiada masuk/keluar (sepertinya bentuk bulatan) dalam ruang bentuknya, namun Zain-Hassan menempelak keteguhan ini. Malah, seperti yang Inspektor Boon nyatakan, para penduduk perlu "membuka mata" mereka daripada terus "dibutakan" dengan ilusi kuasa Raja. Dan hal itu akhirnya disedari, bulatan, yang awalnya berbentuk anak mata, dihancurkan, lalu komuniti dan orang bawahan Raja mula melihat realiti mereka dengan pasangan mata (bulatan) yang baharu, dari mata mereka sendiri.
Jadi, akhirnya, dinamisme spektator yang mengelilingi ini akan berubah. Bentuk ruangnya tidak lagi mengeliling, tetapi berbentuk pentas (pementasan?) yang dualis (khalayak lwn. titik tumpuan/wira) dengan satu garis sempadan halimunan ("Letakkan tape .." kata Inspektor Boon). Eh, bukankah imej ini pernah kita lihat dalam filem ini? Ya, pada babak imbasan, sewaktu Raja menjadi titik tumpuan (wira palsu/the false hero) dan orang setinggan menjadi spektatornya. Dan hal ini akhirnya, diraikan (dengan betul) oleh khalayak.
Jadi, memang betul, Wira tetap hanya sebuah filem aksi, lompang, generik dengan tujuan dan komersial dalam hakikat, formulaik malah, mengulang stereotaip dan kebiasaan yang tampil dalam filem-filem yang sebelum ini jauh lebih ligat dan gemilang. Namun dengan jamuan bahasa filem Adrian, sekurang-kurangnya Wira bukanlah tipikal menjual aksi semata-mata, dan menyahut penonton untuk memberinya peluang untuk meneliti dengan lebih tajam apa yang sengaja diselitkan.
Comments
Post a Comment