1917 karya Sam Mendes (American Beauty, Skyfall) yang sedang ditayangkan di pawagam serata
Malaysia dan baru-baru ini memenangi Filem Terbaik Drama bagi Golden Globes merupakan sebuah filem
"peribadi" Mendes yang cuba menangkap singkapan sejarah datuknya
sebagai askar Britain sewaktu Perang Dunia Pertama, khususnya pada April 1917
di sempadan barisan depan Britain-Jerman di tanah Perancis.
Apa yang menarik yang dilakukan oleh Mendes dalam eksekusi filem ini adalah
menggunakan syot (oleh sinematografi Roger Deakins; Blade Runner 2049) panjang tanpa henti (terdapat, kira-kira 2-3),
semacam, ini ialah jawapan sinema abad ke-21, yang jika kita lihat, bermula dengan Alfonso Cuaron melakukan babak peperangan Children of Men (2006) (Cuaron menyambungnya dalam Gravity kemudian Roma) yang juga dilaksanakan oleh rakan pembikin Latinnya yang
turut popular di Oscar, Alejandro Innaritu (Birdman,
dan lebih jelas lagi, The Revenant).
Semua filem ini berlangsung pada tahun selepas alaf 2000, seakan-akan ini signifikasi
"sinema alaf-21".
Walaupun mungkin Mendes (dari UK), Cuaron dan Innaritu akan menyatakan
bahawa pemilihan gaya ini asli pada kraf dan falsafah bikinan mereka, tapi saya
melihat, selain mengembalikan semangat "rakaman sejarah tiada terputus
secara masa-nyata/real-time"
yang dilaksanakan oleh Alexander Sakurov dengan Russian Ark (2002). Cara bagaimana Mendes dan rakan kontemporarinya
menjaga masa, koreografi detik gerakan, ruang dan blocking/susun letak, banyak disumbangkan oleh filem ala doku ala
sejarah muzium ala hantu lama Rusia menjelma semula milik Sakurov ini, dalam
sebuah istana lama Tsar di Rusia. Malah, mereka juga kiranya berhutang budi
dengan Terrence Mallick, antara auteur Amerika tulen yang masih hidup, yang
juga menggunakan sudut gerak dan teknik yang sama: yang menimbulkan, bukan
sahaja gerak-geri peribadi (kita disudutkan hanya pada satu gerak protagonis;
Spielberg melakukannya dengan War of the
Worlds, 2005) sebagai kaca mata voyeur penonton- langsung sebagai pintu
empati kita kepada ruang, suasana dan latar cerita yang disampaikan, lebih
daripada watak yang sedang kita ikuti (mood ini secara klise akan kita kata
hanya dapat,dirasai sepenuhnya dengan IMAX, juga ciptaan sinema alaf-21),
tetapi juga, dengan kentalnya ada dalam filem-filem Mallick, suatu sudut
"spiritual sinema", yakni satu percubaan mengikat manusiawi--watak
yang diikuti-kita sebagai pentonton kepada tahap transenden: bahawa apa yang
kita ikuti itu "membawa makna" pada sesuatu yang lebih besar dan
tidak tersentuh oleh manusia, suatu entiti yang lebih rohaniah, yang
menggerakkan dan digerakkan, yang "menentukan". Spiritual sinema ini,
hakikatnya melaksanakan suatu sentuhan untuk "pengubahan jiwa"
seseorang, melalui landskap "transendental". Ini jelas dapat kita
rasai dalam sentuhan agung Mallick, The
Tree of Life (2011). Malah, dalam filem Innaritu, Cuaron dan Mendes,
trensenden rohani ini berlaku atas perubahan fizikal atau psikologi mahupun
jiwa yang melalui suatu transformasi, yang jelas dapat kita lihat dalam Gravity (wanita dan alam/environment sebagai insan alaf
terbaharu), The Revenant (menemui
asal usul dan roh Amerika yang purba, juga fasal asal sekitar yang merasuk),
dan Children of Men (pengorbanan
darah ala Christ untuk zaman baharu).
Dalam 1917, mahu tidak mahu,
persoalan itu kembali timbul, apatah selain syot yang dilaksanakan mengingatkan
kita pada seakan sebuah filem Mallick (dengan babak watak di tengah syot, atau
membelakang, melalui lorong ala labyrinth),
nyata dua watak askar yang kita ikuti itu kadangkala dinyatakan sesuatu melalui
latarnya, baik pokok, bangsal terbakar, bangunan hancur, dan air. Malah ada
babak yang jelas dalam satu babak, satu kejadian "kelahiran semula"
ala babtise berlaku terhadap seorang
watak. Apakah signifikan-signifikan tanda-tanda alam ini sebagai latar di
belakang watak? Imej yang indah ini amat mengingatkan saya pada filem The Mirror oleh Tarkovsky. Filem ini
juga, mahu tidak mahu akan mengingatkan kita pada JRR Tolkein dan kebenciannya
pada kemusnahan alam sekitar sewaktu di medan perang Perang Dunia Pertama dan
nostalgia untuk kembali pada alam Inggeris yang lebih kehijauan (kehuru-haraan
di zon bebas dan memasuki benteng musuh dalam filem ini dapatlah dibandingkan
dengan kemasukan Frodo-Sam ke dalam Mordor). Filem ini jelas lebih mudah
diikuti daripada War Horse (2011)
Spielberg (yang turut menggunakan teknik syot panjang dalam huru-hara medan
perang) tetapi kelihatan lebih jelas "dipentaskan" dan episodik (bagi
filem perang yang dipentaskan yang lebih seru dan lebih jelas seramnya, sila
tonton Come and See, 1985). Maka itu
juga, saya tidak menyatakan ini filem terbaik Perang Dunia Pertama (yang ditakluki All Quiet on the Western Front, 1930 dan
The Grand Illusion, 1937). Hanya,
sebagai dokumentasi epigraf peribadi Mendes buat datuknya, juga falsafah
jelasnya tentang peperangan, dengan sikap spiritual dan permohonan transenden
manusia untuk mencari manusiawi dan pengawalan lestari alam sekitar, filem ini
mampu diraikan.
Comments
Post a Comment