Masalah utama filem ini ialah teknikal persembahannya. Pertama, filem ini mengambil format drama televisyen (ruang bingkai, syot dan susunan letak, gaya) dengan sikap pelestarian talking heads. Talking heads ini pula berkaitan dengan sumber pembikinan filem ini, yakni suatu adaptasi karya drama teater Oscar Wilde, The Importance of Being Earnest. Maka, dengan sengaja pengarah dan penulis skripnya, Al Jafree Md Yusop menyusun letak persembahan lakonan dan gerak lakunya ala stagy. Terdapat sebuah lagi teknik persembahan campuran, yakni animasi, dimuatkan dalam dua babak monolog panjang (gaya sama jika kita pernah menonton Harry Potter and the Deathly Hollows Part I [2010], bandingkan sikap eksposisi ini dengan babak full animation yang hanya bergerak tanpa perlu sangat bermonolog dalam Run Lola Run [1998]). Walaupun penggayaan ini memperkaya namun boleh sahaja canggung dan kelihatan kureng bagi yang tidak mampu (aku pernah menonton filem adaptasi novel Ulysses yang penuh dengan monolog dari awal sehingga akhir) menurut; tetapi mereka yang sanggup melepasi kekurangan atau kecanggungan ini, you are in a litte treat.
Ini adalah kerana Al Jafree telah menghasilkan antara komedi paling menyengat tahun ini, bersatirakan dua jenis kelas budaya yang mungkin tak mampu bagi orang seperti aku mengalaminya, selain di televisyen (hence the style). Pertama ialah kelas budaya chenta-korporat anak Dato' dan Datin Melayu yang selalu bermain-main di siaran televisyen kita. Kedua ialah parodi buat-buat bagi budaya drama televisyen Melayu itu sendiri, yang secara sengajanya, Al Jafree memerangkap watak-watak orang kaya "berbudaya" ini dalam bingkai pentasnya yang langsung tidak berjaya keluar lebih daripada pagar batu rumah-rumah orang kaya yang digambarkan. Segalanya interior, malah paling luar pun hanya bermain-main di taman sekangkang kera banglo mana-mana rumah Dato' Datin serata Malaysia.
Keterperangkap watak-watak ini ialah keterperangkap "minda" penonton dan pembikin drama televisyen yang sedang dihentak dan diejek oleh Al Jafree (kadangkala dengan jelas dalam dialognya). Menarik lagi, beliau menggunakan bahasa baku "yang sampai!" seakan-akan kita, kini, sedang menonton high drama, sekali gus sekali lagi mengejek-ejek semangat pelaksanaan Dasar Kebudayan Kebangsaan. Keterperangkap ini sekali lagi memerangkap jengkel budaya sosial golongan atasan yang hanya "memilih tangkap" budaya-budaya tertentu sebagai budaya yang menyamai statusnya (lebih-lebih lagi budaya Barat). Di sini, kelihatan ironi sikap xenofobia golongan kaya ini terhadap apa-apa yang "asing" atau "di luar" yang dirasakan tiada menempatkan pada status yang ada dengan mereka, dan betapa ironi berganda apabila sesuatu yang di luar ini kemudian (dalam hal ini, spoiler, watak Rahmat), pada peleraian filem, memunculkan makna imej yang membilas bayang diri sendiri. Maka sindiran Al Jafree ini menjadi suatu pokok wacana yang lebih besar, membongkar balik kefahaman kita melihat strata-strata status dan kelas sosial bikinan sesebuah masyarakat, apatah lagi dalam pemilihan dan pembudayaan tentang apa itu budaya tinggi dan budaya rendah, dan apatah lagi hipokrisi yang muncul di belakangnya, serta garisan halus di antara kedua-duanya yang hanya dapat digaul-selam dengan rasa yang jauh lebih penting: hati/naluri.
Kelangsungan filem komedi satira ini menjadi, malah menutup mata kita terhadap sikap staginess-nya adalah atas lakonan-lakonan cemerlang para pelakonnya, khusus Namron, Amerul Affendi, Eric Fuzi, Azman Hassan, Nadiah Aqilah, Adibah Noor dan Sharifah Amani. Sebagai sebuah filem yang dipentaskan, kumpulan pelakon ini berjaya mencitrakan wataknya pada tempatnya, yang walaupun dengan sedar dan tahu pembawaan mereka "dibuat-buat", namun jauh lebih berkesan dan ekstrem daripada mana-mana Dato' Datin dan anak-anaknya yang pernah digambarkan dalam drama Melayu kontemporari. Atas lakonan merekalah, kita penonton, dapat menonton sebuah "drama televisyen yang dipentaskan" ini dengan sungguh menyeronokkan, terkikih dan terhibur dengan setiap masuk keluar kacau-mengacau dan drama emosi yang diluahkan. Runut bunyinya biasa namun membantu, khususnya pada beberapa pemilihan lagu yang sesuai membina suasana. Suntingannya menurut beberapa filem jenis teater yang pernah dihasilkan, seperti Boys in the Band (1970), Who's Afraid of Virginia Woolf (1966) dan Cat on a Hot Tin Roof (1958), yang kebanyakannya bermain dengan penggambaran latar dalam. Pengarahan menjadi kekuatan dalam cara pengawalan sekuen dan tempo penyampaian, menjadikan suara dialog dan mimik laku suatu rapsodi yang membentuk sebuah simfoni untuk diraikan.
Comments
Post a Comment