Tiga Perca Filem April 2026: Libang Libu, Michael dan The Waves Will Carry Us

Libang Libu (2026)

Filem ini bergerak dengan premis seorang loser bernama Man Filem (Amerul Affendi) yang taik judi dan hutang keliling pinggang, membawa kru filem sang pengarah Silver (Alvin Wong) ke kampungnya di Teluk Intan, Perak, yang dia kemudian perlu berhadap dengan abang kandungnya, Along Alid (Beto Kusyairy) dan orang kampung yang sentiasa prasangka terhadapnya, juga akhirnya mendepani dosa-dosanya yang lalu.

Filem ini dengarnya seperti menarik jika pengarahnya Bobby Husaini (untuk filem sulungnya) dengan bantuan penulis lakon layar Aloy Paradoks, Taqim Zaki dan Rayza Mukmin mampu membawa suatu sinema komedi yang hidup. Lebih-lebih lagi seorang rakan memberitahu bagaimana filem ini mempunyai bayangan yang comel mendekati adikarya Syed Alwi, Alang Rentak Seribu, juga ada plot sebuah kru filem membikin filem di sebuah kampung. Ramuan ini menjadi jika kita percaya dengan bahan-bahannya. Bahan-bahan di sini ialah watak-watak kampung dan watak-watak filem yang mengelilingi dunia Man Filem dan Along Alid. Sketsa dan penampilan solo menjadi tontonan kita (hal inilah yang tampil dalam filem-filem komedi Mamat Khalid). Jika kita tidak peduli dengan watak-watak ini, dan ke mana cerita mereka, filem ini akan merudum pecah dan berkecai. Jadi, sejauh manakah kita menyukai watak-watak areketaip kampung ilusi para pembikin filem ini? 

Bagi aku, tidak ada satu watak yang memorable dan penting untuk aku (aku suka cara Sabri Yunus, Azhan Rani dan Nabila Huda "Anjababy" melakonkan watak mereka, tetapi citra dan sebab-akibat mereka berlalu begitu sahaja). Secara umum, watak dan tujuan watak utama filem hanyalah untuk "mendidik" penonton agar kurang berprasangka dengan manusia yang bermasalah (yamg kita selalu tonton dalam berita), untuk membina empati dan untuk memberi "peluang kedua" dan kemaafan bagi sesiapa yang kita tidak pernah kenal latar belakangnya. Tidak ada yang berat dalam hal ini. Malah, jika pembikinnya hendak membawa suatu satira pun (seperti Martabat), ia bukanlah suatu satira yang baik sepertimana Lelaki Harapan Dunia, Man Laksa dan Kala Malam Bulan Mengambang

Suatu lagi ialah perbuatan huru-hara (chaos) yang ditampilkan. "Libang libu" mewajahkan bahawa filem ini menampilkan situasi ketidak keruan atau huru-hara atas kemasukan suatu projek (rezeki) ke alam kampung. Dalam Alang Rentak Seribu, konsep ini jelas, bahawa dalam keributan itu, kru filem itu membawa "kemajuan", "rezeki" dan "pesona popular" ke sebuah kampung yang "aman". Terdapat gerakan ke arah pengimbangan (equilibrium) dan ketenteraman. Menariknya, banyak filem/drama "bikinan" bermain tentang hal ini. Aku pernah tonton beberapa, dan bagi aku, antara chaotic cinema yang aku suka ialah Welcome Back, Mr. McDonald

Sebenarnya, Hantu Kak Limah Balik Rumah juga sebuah chaotic cinema yang berjaya. Kedua-dua filem ini membina sedikit demi sedikit keadaan dan sebab-akibat haru-biru yang bergerak ke arah satu puncak yang cukup mengacau keamanan sebelum ruang/alam filem diganggu. Dalam Libang Libu, hal itu yang kita tunggu-tunggu terbina, tetapi cara pengarahnya membina, dengan terlalu banyak simpang-siur penemuan watak (filem ini juga menggunakan plot ala detektif untuk menemui beberapa persoalan) dan motif, gerakan ke arah satu peleraian yang katarsis seakan-akan tidak timbul-timbul, walaupun, dengan penjelasan (konfesi/pengakuan dosa) Man Filem akhirnya dikemukakan. Hal ini mampu diperketat dari segi nada dan suntingan babak ke babak dan penonjolan watak (setiap watak membawa nadanya dan moodnya) dengan tangan yang lebih mahir membina sebuah "melodi" yang indah dalam kecelaruan, dan tidak membiarkan rasa kecelaruan itu seakan-akan sudah terjawab dengan mudah, malah dengan sebuah deus ex machine (kehadiran seorang lagi Sabri Yunus).

Filem ini mungkin akan mencuit ramai khalayak, hanya mungkin bagi aku, komedinya tidak natural walaupun niatnya mempunyai jiwa yang baik.

Michael (2026)

Filem biopik ni menarik sebab buat aku dan adik-beradik aku bergaduh besar. Adik perempuan dan abang kedua aku sangat suka gila filem ni (siap tonton dua tiga kali dan menangis), sedangkan aku merasai ada sesuatu yang kosong dan tidak jujur tentang filem ini, ditambah dengan sikap pembikinnya, daripada pengarah filem yang baik Antoine Fuqua dengan bantuan lakon layar John Logan untuk menampilkan segala sisi yang malaikat (dan pada satu tahap, mewajahkan Micheal Jackson seperti seorang pengutus akhir zaman buat dunia melalui muziknya, Ya Tuhan!) dan suci tentang artis Raja Pop Dunia ini. 

Memang, aku mengaku, babak realisasi semula konsert dan MTV Micheal sangat mahal dan "realisme", berjaya membangkitkan "aura" MJ yang kita sayangi (dan sesiapa yang tidak kenal akan jatuh cinta), tetapi dari segi cerita dan penceritaan, sepertimana sikap MJ yang sentiasa hendak hidup dalam citra "misteri" kepada para peminatnya, kita hanya dapat sebuah plot seorang anak hendak berpatah arang terhadap ayahnya yang terlalu mengawal dan memanipulasi urusan seninya, dan itulah kisah filem ini dari awal sehingga babak MJ (yang dilakonkan dengan berkesan sekali oleh Jaafar Jackson, sepupu mendiang Micheal sendiri) mengumumkan pemecahan dia daripada kumpulan adik-beradiknya dengan selingan babak akhir persembahan lagu Bad

Jika kita tidak mampu diberi oleh para pembikin sekurang-kurangnya lapisan-lapisan perwatakan sang penghibur besar ini (dengan sengaja, kita tidak tahu secara mendalam perhubungannya dengan Diana Ross, Elizabeth Taylor, Gary Colemen, tetapi dengan pathos, menampilkan betapa sunyinya hidup artis ini kerana dia lebih senang berbuat kawan dengan cimpanzi dan ular sawa daripada manusia), sekurang-kurangnuya berilah magis sinema bagaimana Micheal "mencipta" lagi-lagu malar segar era awal kerjaya solonya, seperti Beat ItThriller dan Billie Jean. Ini tidak (kita hanya dapat melihat MJ mengangguk, dengan banyak post-it lirik kata di dinding dan tanda "work-in-progress" di pintu studionya). 

Seperti filem promo-antologi lagu Moonwalkernya, kehebatan lagu-lagu pop itu dipersembahkan seperti muzik video semata-mata, tanpa apa-apa input menarik yang membuatkan lagu-lagu itu menjadi sejarah besar dunia muzik pop. Selingan-selingan itu datang dan pergi tanpa apa-apa cerita belakang tabir (tonton bagaimana lagu Bohemian Rhapsody tercipta dalam biopik Queen itu). 

Kita hanya mengenal Micheal, si suara lembut tetapi menjadi galak di depan pentas, daripada seorang budak, menjadi seorang lelaki dewasa. Kisah ini keluar macam sebuah novel remaja sastera terbitan DBP, penuh nilai murni, watak utama pipih tanpa kesalahan, dan berjaya mencapai matlamat tanpa melalui lapisan hidup yang lebih messy atau gelap. Jesse Hessenger betul dalam pemerhatiannya bahawa biopik ini hanyalah sebuah filem yang peminatnya nak tonton yang baik-baik sahaja, tanpa mahu mendepani kebenaran subjeknya. Sebagai sebuah mesin memuaskan peminat, ya, filem ini berjaya, tetapi sebagai sebuah filem biografi, filem ini akan dilupakan pada masa depan.


The Waves Will Carry Us (2026)

Sinema Mahua atau sinema Cina Malaysia (sebenarnya ini filem transnasional atas bikinan pelbagai negara) mengejutkan kita dengan seorang lagi pembikin filem baharu, Lau Kek-huat (berpusat di Taiwan) yang membawa sebuah komedi saga dalam empat generasi keluarga Ah Yao (Wei Chun-chan) yang membuka tema pencarian identiti serta jati diri dan ketidaktentuan duduk letak tanah air. Sebenarnya, sudah berkali-kali tema kewarganegaraan ini timbul oleh para pembikin Cina Malaysia, tetapi bagi aku, kali ini, ia membawa suatu cerita dan maksud yang penuh, yakin dan memuaskan, malah manusiawinya tentang maksud kenegaraan dan pengalaman hidup di Malaya/Malaysia, yang bagi aku, antara yang paling visceral dan menyentuh untuk ditonton. 

Lebih menarik lagi, fitrah kehadiran orang Cina (dalam hal ini, dari Fujian atau selatan China) ke Tanah Melayu atas dasar "mencari rezeki" sementara waktu (takdir yang sama bagi mana-mana diaspora Cina ke Amerika atau ke Asia Tenggara lainnya), lalu kemudian terperangkap untuk hidup "selama-lama"nya di tanah air asing itu, yang kemudian diberi perspektif moden tentang diaspora Cina Malaysia ke negara asing pula, memberikan suatu nafas baharu yang cukup segar untuk ditelaah. 

Kita dihadapkan dengan dilema Cina (yang boleh juga dilihat sebagai dilema rakyat umum Malaysia) tentang adakah kita "disumpah" di tanah air ini atau kita meredai kelangsungan hidup kita di sini. Sikap insaniah Kek-huat, walupun mungkin mengguris orang-orang tertentu, akan menjawab persoalan itu dengan cukup empatik sekali, dengan babak akhir yang cukup pathos (berhubungan dengan perhubungan sulit mendiang ayah watak utama) tentang hak memiliki identiti dan warganegara. Lebih mencuit lagi apabila Kek-huat mendepani isu diskriminasi orang Cina Malaysia di Taiwan yang terpaksa menjadi "pelakon terhebat" di tanah air yang ingatkan lebih dekat dengan jati diri fitrah mereka (ini suatu suntikan kritis yang sangat tajam).

Inilah antara kekuatan Kek-huat, yang walaupun filemnya terasa indie, terasa gaya pembikinan kos murah (hal ini disengajakan), tetapi kedalaman naratif dan temanya jelas mendalam. Malah, aku sungguh terpikat dengan gaya, walaupun seakan neo-realis, dogme, Kek-huat mampu menghubungjalinkan sifat kelakar dengan sentuhan jiwa dalam beberapa babak dan gerakan cerita. Antara contohnya yang berkesan ialah babak si atuk yang terpaksa "berlakon" tahu bercakap Melayu di hadapan pegawai pendaftar: "Saya warganegara sini"! Ini negara saya!" yang cukup mencuit tapi memberikan sentuhan jiwa yang cukup syahdu.

Juga, ada unsur mistik ala realisme magis Kek-huat yang memberikan magis khusus yang cukup dekat dengan budaya-agama Cina: penerimaan untuk meninggalkan sembahan Dewa Tanah dari halaman Tanah Besar kepada Dewa "Datuk Gong" lokal - durian sebagai petanda takdir-sentuhan ghaib/imej cinta-benci orang Cina dengan hal tempatan - kehilangan mayat dalam semak kubur. Hal yang kita temui di sini ialah bagaimana (kebanyakan filem diaspora kita akan menemui hal ini) keluarga Ah Yao belajar untuk mengadaptasi dengan persekitaran, memahaminya, berdialog dengannya, dan akhirnya merangkulnya sebagai fitrah/takdir'hakikat hidup. Memang inilah antara filem "keredaan Cina" terhadap tanah airnya yang paling berkesan yang pernah aku tonton (walaupun ada kritikan-kritikannya). Sesuatu yang cukup memuaskan dalam pengalaman tontonan.

Selain cerita yang kuat, lakonan yang memberangsangkan (khususnya Vera Chan sebagai adik perempuan Ah Yao), dengan jalinan cerita empat generasi yang cukup hidup, kita diberikan sinematografi luas dan tertumpu yang baik oleh Tsai Wei-Long, dengan suntingan kemas Soo Mun Thye dan Jessica Wan Yu Lin, dengan runut bunyi memikat. Ini sebuah filem yang sepatutnya ditonton oleh rakyat Malaysia walaupun sekali tahun ini. Antara filem terbaik kita tahun ini. "Bangunlah, celikkan mata dan lihat!"

Comments